MELAKA: "Saya perlukan wang untuk pulang ke Indonesia. Saya tiada
tiada pilihan lain selain melacur," kata Selvi Pinem, 24, yang berasal
dari Medan, Indonesia.
Selvi berkata demikian ketika
membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin atas
pertuduhan menjalankan aktiviti pelacuran, hujung bulan lalu.
Mahkamah
Majistret Ayer Keroh, memerintahkan dia dipenjara tiga bulan, bermula
hari ini dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas tamat hukuman
bagi tujuan pengusiran.
Mengikut pertuduhan, Selvi didakwa
mencari langganan bagi tujuan persundalan di sebuah bilik hotel, di
sini, pada jam 12.05 tengah malam, 30 Mac lalu.
Tertuduh
didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan,
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan
Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan hukuman berbentuk pengajaran
terhadap tertuduh untuk tidak melakukan kesalahan sama.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman diringankan dan segera dihantar pulang ke Indonesia.
Berdasarkan
fakta kes, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat,
Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah
menahan seorang wanita warga Indonesia di hotel berkenaan bersama
seorang lelaki, dipercayai pelanggan dan merampas barangan disyaki
digunakan untuk menjalankan kegiatan pelacuran.
Rakaman percakapan dilakukan mendapati tertuduh mengaku dilanggan seorang lelaki dan menerima wang langganan sebanyak RM150.