BN janji bantu orang muda bandar, luar bandar



KUALA LUMPUR: Manifesto Barisan Nasional (BN) khas untuk generasi muda yang akan dibentangkan malam esok mencakupi segenap ruang lingkup keperluan dan kehendak golongan itu tanpa wujud diskriminasi antara kawasan bandar serta luar bandar, kata Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, ia dirangka dalam usaha memastikan kehidupan golongan itu ditambah baik supaya lebih produktif tanpa tekanan.

Katanya, janji yang terkandung dalam manifesto itu akan memberi tumpuan sama rata merangkumi segenap lapisan anak muda sama ada yang bujang, berkahwin, wanita muda berkerjaya, graduan atau sudah bekerja, orang kelainan upaya (OKU), usahawan muda dan lain-lain.
"Apa yang dilakukan kerajaan BN dalam tempoh lima tahun lalu tidak akan terhenti begitu sahaja, sebaliknya BN merancang satu pelan besar untuk manfaat golongan muda untuk lima tahun akan datang," katanya dalam video berdurasi 3.31 minit yang disiarkan di laman Facebook miliknya hari ini.
Khairy berkata, manifesto kali ini mengandungi janji untuk membantu golongan muda memiliki rumah pertama, tawaran peluang pekerjaan, kenaikan gaji, insentif latihan, bantuan usahawan, kesihatan, kemudahan jalur lebar, pengangkutan dan sebagainya.
"Jaminan saya, jika nak kerja...kita akan dapatkan tawaran kerja atau peluang latihan untuk anda dalam tempoh enam bulan saja. Yang nak duit lebih, kita bagi naik gaji atau bagi insentif untuk tambah kemahiran.
"Kita juga akan memastikan aturan (masa) kerja fleksibel untuk wanita. Women empowermnet forever! (pemerkasaan wanita selama-lamanya). Lepas itu, semua segmen kita akan tolong, pekerja swasta dan pekerja kerajaan, manakala belia luar bandar pula tidak dilupa dan saya akan pastikan wujud banyak peluang ekonomi untuk belia di luar bandar," katanya.
Khairy berkata, terdapat juga jaminan untuk usahawan muda apabila BN berjanji meneruskan bantuan sedia ada dan jurang birokrasi mendapatkan pinjaman akan dihapuskan.
Melalui portal Youth Entrepreneur Network (YEN), beliau berkata, usahawan boleh menggunakan platform dalam talian itu untuk memohon pinjaman, geran dan latihan dengan mudah.
"Usahawan muda akan kita bela dan semua akan dapat akses semua agensi yang kita ada untuk bantu usahawa muda," katanya.
Bagi mereka yang dalam perancangan berkahwin, Khairy berkata, manifesto BN kali ini turut memberi tumpuan bagi orang muda yang mahu berumah tangga sehingga menimang cahaya mata.
"Masa kahwin, kita tolong dan apabila dapat anak, kita terus bantu termasuk penambahan dana Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) untuk keluarga yang lebih produktif dan mengelak tekanan," katanya.
Pemilikan rumah untuk orang muda turut ditekankan apabila Khairy berkata, jumlah rumah mampu milik dan rumah transit akan ditambah bagi memudahkan golongan itu memiliki rumah pertama mereka.
Selain itu, keperluan harian seperti pengangkutan dan kemudahan internet lebih murah akan disediakan termasuk perkhidmatan pemeriksaan kesihatan lebih awal kepada generasi muda.
Dalam manifesto untuk orang muda, beliau berjanji BN akan memastikan peluang untuk semua OKU.
"Paling penting generasi muda yang akan membawa Malaysia ke TN50 (Transformasi 2050). Ini masa kita, apa yang nak ditunggu lagi demi semalam, hari ini dan esok. Kerajaan sediakan peluang dan kita perlu sambut serta julang," katanya.
close
==[x] close the page ==