Jangan buat andaian tak mahu bayar - Seri Vida


IPOH: Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida berharap orang ramai tidak membuat spekulasi kononnya beliau gagal membayar cukai pendapatan individu selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membawa kes itu ke mahkamah, Isnin lalu.

Sebaliknya, pengasas produk kecantikan berusia 47 tahun itu menegaskan pembayaran sebelum ini sudah dilakukan dan jumlah lebih RM4.6 juta yang dituntut LHDN itu adalah baki cukai pendapatan individu yang tidak cukup.

"Saya bukannya tidak bayar tetapi tidak cukup bayaran yang saya sudah bayar. Itu (yang dituntut LHDN) adalah tambahan, saya lambat bayar sebab kena buat akaun sekali lagi dan ambil masa lama melakukan penelitian.

"Perbincangan akan dilakukan dengan LHDN bagi menyelesaikan kes itu di luar mahkamah seperti mana diarahkan (mahkamah)," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai komen terhadapnya dalam media sosial kononnya gagal membayar cukai pendapatan individu walaupun kaya raya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Datuk Seri Vida menyelesaikan bayaran cukai pendapatan individu bagi tempoh lima tahun yang dituntut LHDN berjumlah lebih RM4.6 juta sebelum 21 Mei depan.

Arahan penyelesaian di luar mahkamah itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis selepas tuntutan itu difailkan peguam LHDN, Nor Hidayah Mohd Anas di dalam kamar hakim.

Dalam penyataan tuntutan LHDN, beliau dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4,686,435.79.

Datuk Seri Vida berkata, beliau sentiasa memberikan komitmen terhadap semua undang-undang yang ditetapkan negara.

"Saya sentiasa memberikan komitmen, tidak pernah lari dari bayaran cukai, saya selalu masuk muka depan (akhbar) takkan saya hendak malukan diri sendiri.

"Saya diuji cara begini dan berharap netizen tidak buat andaian sendiri, doakan supaya kes ini dapat diselesaikan dengan mudah," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Vida berkata, beliau kini sedang giat mempromosikan produknya dan sudah menghasilkan dua iklan yang kini sedang viral di Facebook hasil daripada testimoni daripada pengguna produknya.

Katanya, orang ramai boleh melihat sendiri iklan berkenaan melalui laman facebooknya 'Sayang-Sayang DSV' dan memberikan komen bagi membolehkannya memperbaiki cara promosi dilakukannya.
close
==[x] close the page ==