Seorang pemandu lori parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan
sebuah lori kargo di Kilometer 402.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh
berdekatan susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim di sini, awal pagi tadi.
Dalam
kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohamed Azham Ismail Fathi, 49,
patah kaki kiri akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas lori
dipandu melanggar belakang lori kargo terbabit dan mangsa terpaksa
menahan kesakitan lebih setengah jam sebelum dikeluarkan.
Komander
Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rosdi
Shafie, berkata seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik
menerima panggilan kecemasan jam 2.54 pagi.
"Operasi turut
dibantu anggota dari BBP Tanjung Malim yang tiba di lokasi kejadian jam
3.12 pagi. Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam masa 15 minit
sebelum dibawa ke Hospital Slim River, Perak untuk rawatan lanjut,"
katanya.
Rosdi berkata, anggota bomba turut membuat
pemantauan bagi memastikan tiada mangsa lain terbabit dalam kemalangan
itu, dalam operasi yang tamat jam 3.44 pagi selepas keadaan disahkan
selamat.