MIRI: Jawatankuasa Penduduk (JKP) menahan dua lelaki dan seorang wanita ketika menceroboh sebuah rumah di Jalan Konnifier, di sini, tengah hari semalam.
Ketiga-tiga mereka berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada jam 12.05 tengah hari oleh sekumpulan JKP Miri dan Permy/Vista sejurus menerima maklumat kejadian itu.
Jurucakap JKP Miri, Malateh Mahmud, berkata kejadian disedari orang awam apabila ternampak ketiga-tiga individu terbabit memanjat tembok rumah berkenaan.
GAMBAR menunjukkan salah seorang individu menunggu masa untuk memanjat tembok sebuah rumah di Jalan Konnifier di Miri. - Foto Mohd Rizal Abdullah
Katanya, ahli JKP kemudian bergegas ke lokasi menyebabkan ketiga-tiga individu terbabit cuba melarikan diri.
"Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dapat ditahan tidak lama kemudian. Sebuah beg yang dibawa mereka turut mempunyai pelbagai peralatan, antaranya kapak dan parang," katanya.
Beliau berkata, sebuah motosikal yang ditunggangi individu terbabit turut ditemui berhampiran rumah berkenaan.
"Kesemua individu terbabit mengaku cuba menceroboh rumah berkenaan untuk mencuri kabel, besi dan buah di dalam rumah berkenaan.
"Butiran peribadi tiga individu terbabit direkod sebagai langkah pencegahan. Bagaimanapun, mereka dilepaskan selepas diberikan amaran," katanya.