Penjara setahun akibat curi barang kemas



MELAKA: Seorang lelaki dipenjara setahun dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri barang kemas, tahun lalu.

Mohamed Shaidi Mohamed, 30, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri cincin emas, rantai emas dan wang tunai RM100 dalam kereta PROTON Wira Aeroback milik Norhafizan Mohamad Ujang, 31, dengan nilai keseluruhan RM4,500 di Kedai GS Autocare Centre Sungai Udang, jam 4 petang, pada 7 Ogos 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman paling ringan dengan alasan ada ramai anak dan menanggung isteri dan keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan hukuman setimpal dan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 9 Ogos 2017.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara setahun dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar.
close
==[x] close the page ==